Friday, 18 April 2014

VITAMIN C DAN KANAK KANAK


Keperluan Vitamin C di Kalangan Kanak-kanak

Sejak kecil lagi kita telah di dedahkan dengan kepentingan vitamin C kepada kesihatan badan. Malahan apabila semakin meningkat usia, ramai orang berusaha untuk menjaga kecantikan diri dengan mengambil rawatan vitamin C. Apakah khasiat sebenar vitamin C? Apakah peranan vitamin C di dalam kehidupan kita? Mari kita terokai komponen makanan ini yang mampu membantu kesihatan kita tanpa mengenal peringkat usia.

Apa itu Vitamin C?

Vitamin C adalah sejenis vitamin yang sangat diperlurkan oleh badan. Ianya juga turut dikenali dengan nama Asid Askorbik. 
Di kalangan kanak-kanak yang berusia antara 1 hingga 6 tahun, mereka memerlukan sekurang-kurangnya sebanyak 30 mg vitamin C dalam sehari. Manakala kanak-kanak yang berusia antara 7-9 tahun pula memerlukan sebanyak 35 mg sehari.

Vitamin C amat penting dalam pembentukan tulang. Hal ini kerana, vitamin C dapat membantu tubuh dalam pembentukan kolagen. Kolagen membantu di dalam memastikan tulang, otot, gigi serta kulit berada di dalam keadaan sihat serta kuat. Selain itu, vitamin C juga dapat membantu dalam penyerapan zat besi di dalam badan (zat besi amat penting dalam pembentukan hemoglobin darah merah).
Di dalam buku bertajuk “User’s Guide to Vitamin C” turut menyatakan kepentingan vitamin C kepada sistem kardiovaskular manusia. Selain itu, penulis buku tersebut Hyla Cass dan Jim English turut menyatakan bahawa vitamin C turut memberikan manfaat kepada hati. Selain memastikan tekanan darah berada di dalam keadaan normal, vitamin C juga membantu dalam merendahkan tahap kolesterol di dalam badan. Oleh kerana sifatnya yang larut dalam air, vitamin C turut dapat menyingkirkan kolesterol yang melekat pada dinding-dinding arteri.

Tahukah anda

Vitamin C juga dikenali sebagai sumber anti oksida yang penting. Ini kerana antioksida dapat membantu dalam melindungi sel dan tisu di dalam badan termasuklah sel-sel di otak serta mata. Dengan pencemaran global yang berlaku di dunia ini, maka amat penting sekali pengambilan vitamin C di ambil oleh setiap lapisan masyarakat. Ini adalah wajar, demi mengelakkan diri dari risiko penyakit yang berbahaya.

Sumber vitamin C

Demi memastikan anak anda mendapat sumber Vitamin C yang mencukupi, maka anda perlu memastikan mereka menikmati pelbagai jenis makanan yang kaya dengan vitamin C. Sebagai contoh, buah-buahan segar seperti lemon dan limau. Selain itu, mereka juga boleh menikmati sayur-sayuran seperti kubis dan tomato.
Sungguhpun begitu, vitamin C adalah sejenis vitamin yang larut di dalam air. Adalah di galakkan untuk menikmati makanan seperti buah-buahan yang tidak mengalami proses memasak. Hal ini kerana, di khuatiri vitamin C tersebut akan larut di dalam air tanpa sempat kita menikmatinya.

Kekurangan vitamin C

Tanpa kita sedari, kekurangan pengambilan makanan yang mengandungi vitamin C akan dapat mengundang risiko yang berbahaya kepada kita. Sebagai contoh, pernahkah kita sedari bahawa secara tiba-tiba kita menghadapi keadaan gusi berdarah? Atau pernahkah kita terfikir mengapa kesan luka yang kita alami mengambil masa yang lama untuk pulih?
Perkara-perkara seperti di atas sebenarnya menunjukkan ciri-ciri seseorang yang mengalami kekurangan vitamin C di dalam badan. Untuk itu, amat penting sekali bagi kita memastikan agar jumlah vitamin C di dalam badan mencukupi demi penjagaan kesihatan kita seharian. Jika di lihat pada pasaraya-pasaraya berdekatan turut menawarkan pelbagai jenis makanan tambahan sama ada dalam bentuk pil mahupun cecair yang mengandungi vitamin C. Sebelum anda membuat kuputusan untuk menggunakan sebarang produk kesihatan, maka anda seharusnya mendapatkan nasihat dari doktor terlebih dahulu demi memastikan produk yang ingin anda ambil adalah bersesuaian dengan faktor kesihatan anak anda mahupun diri anda sendiri.
Rujukan:
1. Kementerian Kesihatan Malaysia
2. User’s Guide to Vitamin C by Hyla Cass, and Jim English (2006)
3. FAO/WHO (2002). Vitamin C. In: Human Vitamin and Mineral Requirements. Report of a Joint FAO/WHO Expert Consultation. FAO, Rome; pp 73-86.

No comments:

Post a Comment