Saturday, 3 January 2015

Ubah Corak Pemakanan





Apabila disahkan mengandung sahaja, wanita automatik bersikap berhati-hati dengan apa yang dimakan. Biarpun jika sebelum ini, anda jenis makan apa sahaja yang terasa hendak makan tetapi sebaik hamil, anda pasti melupakan seketika tabiat makan yang tidak sihat.
Ini kerana apa yang ibu makan secara terus mempengaruhi pertumbuhan bayi dalam kandungan. Jadi, semua bakal ibu pasti mahu anaknya lahir sihat dan cergas tanpa sebarang masalah.  Bermula saat ia disenyawakan, janin akan membesar dengan sihat sehingga lahir hasil daripada tenaga dan nutrisi yang banyak daripada badan ibu. Oleh itu perhatikan corak pemakanan anda. Ubah ia kepada yang lebih bernutrisi.
Ada beberapa langkah yang boleh dilakukan oleh oleh ibu hamil bermula seawal minggu kedua kehamilan lagi.
*Seimbangkan kandungan yang ada dalam makanan yang dimakan setiap hari. Ia mesti mengikut piramid makanan yang mengandungi protein, karbohidrat, vitamin, mineral dan lemak yang diperlukan oleh badan.
*Membahagi makanan mengikut bahagian yang bersesuaian dengan keperluan. Misalnya, bahagian pertama adalah sayuran dan bahagian kedua pula buah-buahan.
*Jangan lupa memasukkan bahagian protein dalam menu makanan anda setiap hari kerana ia penting untuk mempengaruhi tumbesaran janin dalam perut.
Sejak bayi berada di dalam kandungan, makanan yang masuk ke dalam badan ibu akan menyediakan keperluan nutrisi yang diperlukan. Seperti kita sedia maklum, organ bayi tidak berkembang serentak tetapi secara bergiliran.
Maka itu ibu haruslah menjaga corak pemakanannya sepanjang kehamilan untuk menyediakan nutrisi yang cukup bagi pertumbuhan sihat organ-organ milik bayi.