Tuesday 20 October 2015

ALAHAN KEHAMILAN/MORNING SICKNESS


Alahan kehamilan/Morning sickness atau dalam medical term dipanggil nausea/vomiting of pregnancy (NVP) menyebabkan wanita hamil mengalami loya/muntah serta kelesuan. Bagi sesetengah individu, simptom ini biasa berlaku di awal pagi dan semakin berkurangan menjelang petang namun kebanyakkan wanita mengalaminya sepanjang hari.

Alahan kehamilan dialami oleh hampir 75% wanita hamil dan 28% darinya pula hanya mengalami rasa loya tanpa muntah. Simptom ini lazimnya bermula seawal minggu ke-4 kehamilan, dan berkurangan menjelang minggu ke-14 (walaupun ia mungkin berulang kembali semasa trimester ke-3).

PUNCA

Punca sebenar terjadinya alahan kehamilan tidak diketahui, tetapi pakar berpendapat ianya disebabkan perubahan hormon dan fizikal dalam badan sepanjang tempoh kehamilan. Perubahan ini juga meningkatkan sensitiviti pada bahagian otak yang merangsang rasa loya. Berikut merupakan kemungkinan punca-punca menyebabkan simptom ini :

1. Hormon human chorionic gonadotropin (hCG) - lebih tinggi paras hormon ini, lebih tinggi kadar loya/muntah yang dialami oleh wanita hamil.

2. Hormon estrogen - paras hormon ini tinggi sehingga 100 kali ganda semasa hamil, turut dipercayai menjadi salah satu punca alahan kehamilan.

3. Hormon progesteron - peningkatan hormon progesteron semasa hamil melonggarkan otot-otot lembut dalam uterus (rahim) dan melambatkan proses pencernaan. Ini seterusnya menyebabkan asid gastrik dapat melonjak naik.

4. Jangkitan Bakteria H.pylori (h.pylori) - menurut kajian Dr. Vagif Soultanov, loya/muntah yang kronik (hyperemesis gravidarum) ketika hamil berkemungkinan disebabkan oleh bakteria H.pylori. Perubahan kepekatan cecair tubuh wanita hamil turut merubah tahap keasidan (pH) perut yang mampu mengaktifkan bakteria ini.

5. Deria bau yang sensitif - menyebabkan sesetengah bau-bauan boleh merangsang rasa loya/muntah.

6. Stres - sesetengah pakar berpendapat loya/muntah merupakan respon abnormal terhadap stres yang dialami oleh wanita hamil.

SIAPA YANG BERISIKO?

1. Wanita yang mempunyai penyakit migrain.
2. Wanita yang mempunyai masalah gastrik (terutama yang telah dijangkiti bakteria H.pylori)
3. Wanita yang mempunyai sejarah mabuk pergerakan (juga dikenali sebagai mabuk jalan/darat/kereta) ketika sebelum hamil.
4. Wanita yang mengalami rasa loya/muntah semasa pengambilan pil perancang (tindakbalas terhadap hormon estrogen).
5. Wanita yang mengalami alahan kehamilan ketika kehamilan terdahulu.
6. Wanita yang mempunyai ahli keluarga yang memiliki sejarah alahan kehamilan, turut berisiko tinggi mengalami perkara yang sama.
7. Wanita yang mengandung anak kembar.

TIPS KURANGKAN ALAHAN KEHAMILAN

1. Tidak tergesa-gesa ketika bangun dari tidur, sebaliknya baring dahulu beberapa minit. Relakskan diri anda dan berikan badan anda masa untuk bersedia menghadapi hari baru. Bangun perlahan-lahan dan duduk seketika sebelum berdiri.

2. Simpan snek ringan seperti biskut tawar di sebelah katil dan makan sejurus bangun dari katil. Ini akan membantu menyerap asid perut.

3. Elakkan minum air semasa perut kosong ketika bangun dari tidur. Minum air hanya setelah anda menjamah sedikit snek ringan. Minum air semasa perut kosong boleh mencetuskan rasa loya/muntah.

4. Makan sedikit tetapi kerap iaitu diantara 6-8 kali sehari (termasuk makanan berat, makanan ringan, buah-buahan dan sayuran).
Cuba makan setiap 2-3 jam untuk memastikan perut anda tidak kosong.

5. Elakkan berbaring selepas makan (terutama mengiring di atas rusuk kiri) kerana ia melambatkan proses pencernaan.

6. Jauhkan dari bau-bauan/makanan  yang boleh merangsang rasa loya.

7. Makan makanan yang telah suam/pada suhu bilik kerana makanan yang panas mempunyai aroma yang lebih kuat.

8. Elakkan makanan yang berlemak, berempah, berasid atau bergoreng kerana ia sukar dihadam dan boleh mengganggu perut.

9. Makan pisang diantara waktu makan boleh mengekalkan kadar gula dalam darah, mengurangkan rasa mual/muntah serta mengurangkan simptom pedih hulu hati.

10. Makanan yang masam boleh mengurangkan rasa loya namun bagi yang mengalami masalah gastrik, boleh juga menggantikannya dengan halwa halia/gula-gula.

11. Makan atau minum makanan/minuman berhalia untuk melegakan kembung perut. Walau bagaimanapun, halia perlu digunakan dalam kuantiti yang sederhana dan dengan berhati-hati kerana dos yang telalu tinggi boleh mencetus penghasilan jus gastrik.

12. Ambil vitamin pranatal anda selepas makan atau sebelum tidur.

13. Vitamin B6 (piridoksina) atau multivitamin kehamilan boleh mengurangkan mabuk kehamilan. Jika anda mengambil vitamin semasa kehamilan, anda mungkin kurang mengalami simptom yang teruk. Periksa dengan doktor anda sebelum mengambil sebarang makanan tambahan semasa kehamilan.

14. Elakkan makan bersulam air kerana ia boleh menjejaskan proses penghadaman.

15. Cuba minum diantara waktu makan terutamanya jika anda rasa sukar untuk minum tanpa muntah semula.

16. Pastikan anda minum dengan kerap namun jangan minum terlalu banyak pada satu-satu masa sehingga boleh menyebabkan anda kenyang. Cuba hisap kiub ais/ais krim buah-buahan jika anda loya.

17. Minum air kosong secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi serta jangkitan bakteria H.pylori. Anda juga disarankan minum minuman susu kultur yang mengandungi bacteria baik (Lactobacillus) atau makan yogurt untuk mengurangkan simptom morning sickness akibat bakteria ini.

18. Cuba terapi semulajadi. Aromaterapi (minyak limau nipis, lemon atau sitrus) atau rawatan alternatif homeopati boleh membantu anda tetapi jumpalah pengamal yang berpengalaman dalam merawat wanita hamil.

19. Memakai gelang tangan acupressure atau mabuk laut. Ia boleh didapati di farmasi dan kedai makanan kesihatan dan boleh mengurangkan loya dan muntah bagi sesetengah wanita.

20. Buat urutan refleksologi/tekanan acupressure pada titik yang berkaitan loya/muntah.

21. Pakai pakaian yang longgar dan selesa. Ini disebabkan perubahan hormon  wanita hamil menyebabkan badan berasa panas yang boleh mencetus perut anda mual. Dalam masa yang sama, elakkan pergi tempat yang hangat dan penuh sesak.

22. Rehat yang secukupnya dan ambil masa rehat dari bekerja jika perlu. Tekanan dan keletihan boleh membuatkan mabuk kehamilan lebih teruk.

23. Dapatkan khidmat doktor sekiranya keadaan anda bertambah teruk.


Rujukan:
http://www.babycenter.com.my/a1029196/loya-dan-muntah-semasa-kehamilan-mendapatkan-bantuan-dan-rawatan
http://www.babycenter.com/morning-sickness
http://www.medicalnewstoday.com/articles/179633.php
http://www.thehealthsite.com/pregnancy/pregnancy-tip-of-the-day-make-a-slow-start-avoid-fluids-in-the-morning-to-counter-morning-sickness/
http://worldobserveronline.com/2014/01/26/reading-youll-never-look-banana-way/
http://www.thestar.com.my/story/?file=%2F2013%2F6%2F30%2Fhealth%2F13288056&sec=health
http://bayi-ibu.com/cara-mengatasi-muntah-ketika-mengandungl/

No comments:

Post a Comment