Saturday 11 October 2014

Bajet 2015: Kit ujian denggi kurangkan kebertantungan terhadap makmal bagi ujian darah



KUALA LUMPUR: Peruntukan RM30 juta dalam Bajet 2015 untuk pengagihan 55,000 kit ujian denggi kepada semua klinik swasta merupakan langkah yang mampu mengurangkan kebergantungan kepada makmal-makmal swasta dan kerajaan untuk melakukan diagnosis darah awal demam denggi.

Ketua Sektor Penyakit Bawaan Vektor, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Rose Nani Mudin berkata ia langkah yang antara lainnya juga menyingkatkan secara drastik tempoh diagnosis itu dilakukan.

"Sebelum ini sekurang-kurangnya sehari untuk klinik swasta mendapatkan keputusan diagnosis kerana mereka perlu menghantar sampel darah pesakit kepada makmal yang mungkin terletak jauh dari lokasi mereka.

Tetapi, bila adanya 'kit ujian' ini keputusan untuk diagnosis boleh diperoleh dalam tempoh 20 minit di klinik itu sendiri tanpa mengakibatkan pesakit menunggu lama," katanya dihubungi Bernama di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2015 di Dewan Rakyat hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk mengagihkan 55,000 kit ujian denggi kepada semua klinik swasta bagi mempercepatkan proses pengesanan awal denggi secara percuma dan pada masa sama mengekang penularan wabak penyakit itu.

Dr Rose Nani berkata mengikut statistik terkini sebanyak 79,720 kes denggi  direkodkan di seluruh negara setakat 8 Okt lepas berbanding hanya 24,612 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

"Dalam tempoh yang sama, angka kematian akibat wabak berkenaan juga secara keseluruhan meningkat daripada hanya 54 kes pada 2013, naik kepada 149 tahun ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengganggap langkah pengurusan kes denggi yang diumumkan Perdana Menteri  itu secara langsung dapat membantu mengurangkan kadar kematian kes denggi.

Sementara itu, mengulas keseluruhan peruntukan RM 23.3 billion yang diberi terhadap sektor kesihatan, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang juga pensyarah Fakuti Perubatan Universiti Malaysia Prof. Awang Bulgiba Awang Mahmud berkata ia merupakan berita baik kepada pihak yang relevan.

Bagaimanapun, jika penekanan peruntukan lebih diberikan kepada usaha mencegah penyakit ianya lagi baik kerana terlalu ramai rakyat Malaysia menghidap penyakit diabetes, darah tinggi dan sakit jantung, katanya.

Bagi Pengarah Perubatan Kuala Lumpur Heart Care, Prof Datuk Dr. Mohamed Rafeq Ibrahim Marican pula, peruntukan RM45.4 juta untuk menyediakan ubat-ubatan kepada pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis adalah memang diperlukan memandangkan semakin rakyat Malaysia menghidapi penyakit buah pinggang.

"Namun begitu, kita masih tidak boleh terlalu bergantung kepada ubat-ubatan itu sahaja. Harus ada cara untuk mengubahnya dengan mengambil pelbagai langkah pencegahan kepada penyakit itu.

Daripada keseluruhan peruntukan RM23.3 bilion untuk sektor kesihatan itu hari ini, Najib berkata kerajaan turut memperuntukkan RM45.4 juta bagi penyediaan ubat-ubatan bagi pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis kronik dan akut serta baki-baki lain untuk pembinaan dua buah hospital, 20 Klinik Kesihatan, empat Klinik Pergigian dan 30 Klinik 1Malaysia di seluruh negara.

No comments:

Post a Comment