Thursday, 25 December 2014

9 Tip Pemakanan Elak Obesiti






Amalan pemakanan sihat memainkan peranan yang amat penting dalam pembentukan diri seseorang kanak-kanak. Pengabaiannya sejak di peringkat awal usia bakal menjadikan dia seorang yang obes sekali gus mengganggu gugat kemampuan diri dalam menjadi insan yang berkualiti.


Kanak-kanak montel sering dianggap comel sehingga ramai yang tanpa disedari membentuk generasi gemuk dan berpenyakit untuk masa akan datang. Secara asasnya, pendidikan pemakanan dibentuk oleh ibu bapa. Segala aspek bermula daripada pemilihan makanan, tabiat, cara makan dan jenis makanan adalah dicedok daripada apa yang diberikan, dibentuk dan ditunjukkan oleh anda!


Anda pasti mahu melihat anak membesar dengan sihat dan kuat. Jadi, dia perlu disediakan dengan makanan yang berkhasiat. Pada umur awal tumbesaran, adalah lumrah apabila sesetengah kanak-kanak kurang berselera makan dan sebaliknya. Namun, jangan memanjakan dia dengan memberi segala jenis makanan dengan harapan dia mendapat semua khasiat yang diperlukan. Dikhuatiri, anda gagal mengawal pemakanannya sehingga menyebabkan dia cenderung mengambil makanan tertentu secara berlebihan.


Sesungguhnya rumah merupakan tempat yang paling baik untuk memupuk amalan pemakanan secara sihat di kalangan anak-anak dan ahli keluarga yang lainnya. Pada masa yang sama, anda perlu menjadi agen iaitu menjadi pembentuk generasi sihat dengan mendidik si kecil untuk mengamalkan rutin pemakanan yang baik.



Seimbangkan Makanan

Hal ini dapat dilakukan dengan mengajar anak-anak untuk makan secara bersederhana bagi semua jenis kumpulan makanan seperti karbohidrat, protein dan lemak. Bagi buah-buahan dan sayur-sayuran pula, ia perlu diambil dalam jumlah yang banyak tetapi tetap perlu diseimbangkan dengan jenis kumpulan makanan yang lain juga. Apa yang berlaku pada masa kini ialah si anak dibiarkan makan secara berlebihan. Lemak yang terlalu banyak daripada makanan yang diambil akhirnya disimpan di dalam tubuh lalu menjadi penyebab obesiti terjadi.



Minimumkan Makanan Ringan

Makanan ringan mengandungi perisa dan pewarna yang dapat memikat selera si dia untuk memakannya secara berlebihan. Pengambilan makanan ringan seperti snek, gula-gula dan seumpama dengannya boleh menyebabkan anak enggan mengambil makanan yang lebih berkhasiat. Ketahuilah, bahan tambahan yang terdapat dalam makanan sebegini juga boleh menjejaskan kesihatan anak anda apabila meningkat dewasa.


Sekat Minum Berkarbonat

Ada segelintir ibu bapa gemar memberi si kecil minuman berkarbonat sedangkan ia tidak sesuai untuk kanak-kanak kerana kandungan gulanya yang tinggi. Gula yang tinggi boleh menyebabkan anak menjadi hiperaktif dan tidak dapat memberi tumpuan dengan sebaik mungkin. Selain daripada itu minuman berkarbonat turut mengandungi bahan tambahan, pewarna dan perisa yang boleh menyukarkan proses perkumuhan buah pinggang. Jika meminum air berkarbonat menjadi amalan biasa, kegagalan buah pinggang boleh berlaku di usia muda.


Banyakkan Minum Air

Anak perlu dididik minum air antara enam hingga lapan gelas sehari. Ia penting untuk fungsi fisiologi tubuh, mengawal suhu badan dan mengeluarkan toksik.


Wajibkan Sarapan

Setiap pagi, pastikan anak mengambil sarapan. Ia merupakan makanan yang wajib diambil sebagai sumber bekalan tenaga agar tumpuannya terhadap aktiviti seharian tidak terjejas.


Tingkatkan Aktiviti Fizikal
Galakkan anak anda bermain di luar rumah seperti taman permainan kanak-kanak. Secara tidak langsung, dia dapat mengurangkan aktiviti fizikal yang memerlukan hanya berada di dalam rumah dengan bermain permainan video atau menonton televisyen sambil makan.


Galakkan juga dia untuk bersukan. Jika kurang berminat dengan aktiviti sukan, cukuplah sekadar berenang atau mengayuh basikal.


Hadkan Gula Tambahan

Gula tambahan sering dirujuk sebagai kalori kosong. Pengambilannya secara berlebihan meningkatkan risiko obesiti. Tindakan mengehadkan jumlah gula tambahan dalam diet kanak-kanak memang disyorkan. Anda perlu sedar hakikat ini apabila membuat keputusan mengenai jenis makanan dan minuman yang disediakan untuk anak. Hal ini kerana wujud gula tambahan dalam pelbagai makanan dan minuman yang diproses.


Disebabkan nama ramuan yang kurang dikenali digunakan seperti sukrosa, maltose, dekstrin, sirap jagung dan sirap glukosa, ramai tidak menyedari bahawa mereka memberikan anak terlalu banyak gula.


Kurangkan Makanan Segera

Kebanyakan makanan segera mempunyai kandungan lemak yang tinggi. Namun, tidak dinafikan kebanyakan restoran makanan segera masa kini mempunyai banyak pilihan makanan yang lebih berkhasiat. Jadi, kurangkan kekerapan anda memberi anak makanan segera sebaliknya memilih makanan yang berkhasiat apabila pergi ke restoran makanan segera.


Bijak Membeli Makanan

Pengendalian bijak dalam membeli bahan makanan untuk seisi rumah dapat mengawal gaya pemakanan si anak. Jika anda tidak membeli makanan tidak berkhasiat, maka anak anda tidak mengambil makanan berkenaan. Selain itu, setiap kali membeli-belah baca label makanan yang dibeli. Pastikan ia rendah kalori, kurang gula dan lemak.